Kenapa Pokemon Go Difatwakan Haram?


.
Baru-baru ini media alternatif menyiarkan berita bahawa permainan Pokemon Go difatwakan haram. Walaubagaimanapun, pejabat mufti menjelaskan sebenarnya berita "fatwa haram" tidak benar sebaliknya yang disebut adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam . Kenyataan sebenar berbunyi seperti berikut:
KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUANPada 1 Ogos 2016 bersamaan 27 Syawal 1437H, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah berbincang dan memutuskan bahawa permainan Pokemon Go dan Pokemon adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam berdasarkan nas dan juga faktor maslahah dan kemudaratan yang berlaku. Justeru, diharap agar masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan tidak terlibat dalam aplikasi permainan tersebut.  
(Rujuk http://www.muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1116-bayan-linnas-siri-66-integriti-data-peribadi-dan-kesihatan-pemain-selamatkah-pokemon-go )
----------

Berita yang disiarkan oleh Agensi BERNAMA adalah seperti berikut:

KUALA LUMPUR:Karektor Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lepas.

"Setelah meneliti pendapat para ulama dan fatwa yang dikeluarkan, kami berpendapat, fatwa yang dikemukakan ada asasnya dan perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.

"Di samping itu, mengiyakan kuasa dan dewa tertentu yang mempunyai kuasa, dan ditambah boleh membawa kepada perjudian, maka kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan tentang hukum bermain Pokemon sebagai haram, mempunyai asas yang kuat.

"Manakala Pokemon Go pula, berdasarkan kes-kes yang sudah berlaku - pengintipan pihak luar; pencerobohan ruang peribadi; faktor keselamatan seperti kemalangan; kelalaian dan sebagainya," katanya lagi.

Zulkifli berkata, pihak jawatankuasa Mufti Wilayah Persekutuan mengesyorkan agar masyarakat memilih bentuk permainan yang mencergaskan minda, tidak melalaikan, serta tidak mempunyai usur khurafat. - BERNAMA
.